Friday, July 1, 2011

BERSIH 2.0:DEMO ATAU RUNDINGAN LEBIH BAIK

KIRA-KIRA lebih seminggu lagi sebelum perhimpunan kedua Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam masih membuka pintu seluas-luasnya kepada pengerusi badan bukan kerajaan itu, Datuk Ambiga Sreenavasan untuk berunding dan mengemukakan pandangannya tanpa membabitkan mana-mana parti politik.


“Pintu rundingan masih terbuka dan Ambiga boleh mengemukakan cadangannya mengenai proses pilihan raya,” kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar pada sesi penjelasan anjuran Institut Perkembangan Minda (INMIND) di Kuala Lumpur, semalam.Wan Ahmad berkata, SPR menjemput Ambiga dan barisan jawatankuasanya untuk perjumpaan pertama pada November tahun lalu.“Kami berbincang selama tiga hingga empat jam di ibu pejabat SPR dan setiap anggota BERSIH diberi peluang bercakap. Oleh kerana mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang, tafsiran mereka juga berbeza-beza,” katanya.SPR mendengar perkara yang dicadangkan dan mereka mengemukakan 17 perakuan. SPR memberi penjelasan apa yang boleh dibuat, apa tidak boleh dan apa pula memerlukan pindaan Perlembagaan. Ambiga dan rakannya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.


Malah Ambiga sering menemui Timbalan Pengerusi SPR dalam banyak perbincangan lain, termasuk perjumpaan dengan Transparency International. Mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain. Sepatutnya tidak ada masalah bagi Ambiga meminta apa juga penjelasan atau mengemukakan cadangan bagi membaiki proses pilihan raya.
Kemudian pada Januari lalu, Ambiga menulis surat kepada Pengerusi SPR untuk mengadakan perjumpaan lagi. Kali ini, dia mengemukakan hanya lapan perakuan, berbanding 17 sebelum ini. Tetapi menurut Wan Ahmad, memandangkan ketika itu SPR terlalu sibuk dengan persiapan pilihan raya negeri Sarawak, badan berkenaan meminta BERSIH bersabar.“Kita tidak tahu apa dalam pemikiran Ambiga apabila selepas itu beliau mengubah lapan perakuan berkenaan kepada tuntutan dan mahu ia dilaksanakan. Sekarang BERSIH bukan lagi bersih macam dulu. BERSIH sudah jadi kusut dan tidak bersih lagi,” tegas Wan Ahmad.

Justeru, suruhanjaya itu kini merayu kepada Ambiga agar memisahkannya dirinya daripada parti politik, kukuhkan BERSIH dan berbincang dengan SPR demi kebaikan rakyat dan negara. Sekiranya NGO terbabit ingin memperjuangkan politik, eloklah ia mendaftar sebagai parti politik dan bertanding dalam pilihan raya.

“Jika perjuangannya dicampur aduk dengan parti politik, demonstrasi yang dicadangkan itu bukan lagi demonstrasi BERSIH, tetapi demonstrasi politik,” tegas beliau.


Malah kata Timbalan Pengerusi SPR itu, ada pemimpin politik cuba mengambil contoh di Mesir dan Yaman yang mana 100,000 pemuda keluar di Mesir untuk menumbangkan pemerintahan diktator, yang tidak ada pilihan raya.


Di Filipina, Ferdinard Marcos ditolak perhimpunan Baju Kuning dan di Thailand, kumpulan Baju Merah keluar beramai-ramai untuk menjatuhkan seorang pemimpin.

Apa yang berlaku itu tidak sama dengan Malaysia yang mana 12 pilihan raya umum diadakan dan Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat memerintah Kelantan selama 21 tahun serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dengan secara tidak diduga di Selangor dan beberapa negeri lain.


“Ini bukti jelas bahawa pilihan raya di negara ini dijalankan dengan adil. Jika pilihan raya tidak adil, rakyat bukannya bodoh. Janganlah memperlekehkan kebijaksanaan rakyat kita,” kata Wan Ahmad.

Beliau juga menjelaskan bahawa SPR hanya sebuah badan yang menguruskan pilihan raya dan tidak ada kuasa untuk meminda undang-undang. SPR tidak mempunyai kerusi di Parlimen. Kerajaan boleh pinda undang-undang, tetapi sebelum ia dibentang di Parlimen, Pejabat Peguam Negara perlu menelitinya dulu.


“Kita jangan mudah sangat fikir jika tidak betul saja, pinda Perlembagaan, bukan semudah itu. Ia perlu melalui pelbagai peringkat dan adalah tidak adil jika mereka mendesak supaya dibuat perubahan atau pindaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13,” kata Timbalan Pengerusi SPR itu.

Wan Ahmad juga menegaskan bahawa SPR tidak sesekali dipengaruhi mana-mana parti dan mendengar pandangan semua pihak, tetapi mereka yang datang berjumpa suruhanjaya itu hendaklah juga bersedia untuk bertolak ansur.

Dalam sesi penerangannya, Wan Ahmad juga menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan hadirin, audiens, termasuk pendaftaran daftar pemilih, undi pos, dakwat kekal dan pengundi hantu.

Mengenai pendaftaran pemilih, katanya daftar pemilih lama yang digunakan adalah berdasarkan daftar 1971, tetapi mulai 2002 daftar pemilih baru digunakan selepas diluluskan Parlimen. Perlembagaan Malaysia membenarkan warga negara berusia 21 tahun layak mendaftar sebagai pengundi dan SPR tidak ada kuasa melucutkan kelayakan itu sewenang-wenangnya.


Oleh itu, SPR tidak boleh mengubah nama pengundi yang didaftarkan dan diwartakan kecuali pengundi sendiri mengisi borang memindahkan namanya ke tempat lain. Memang benar ada orang meninggal dunia, tetapi kadangkala warisnya tidak memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyebabkan nama orang yang sudah tiada lagi masih ada dalam daftar pemilih.

Selain itu, menurutnya, ada pengundi enggan menukar alamat walaupun bekerja di tempat lain, menyebabkan dia terpaksa ke tempat asalnya apabila tiba masa baginya menggunakan hak untuk mengundi pada pilihan raya.

Pendaftaran pengundi sekarang yang menggunakan nombor MyKad tidak membolehkan sesiapa pun membuat pendaftaran sebagai pemilih lebih daripada sekali. Rekodnya sudah ada dalam sistem dan setiap kali nombor MyKad dimasukkan, namanya akan keluar. Ini dengan sendirinya mengatasi masalah ‘pengundi hantu’ seperti yang ditimbulkan parti pembangkang.

Mengenai undi pos, Wan Ahmad menjelaskan antara mereka yang layak mengundi cara ini ialah anggota tentera, polis dan pelajar Malaysia di luar negara yang belajar sepenuh masa serta pegawai kerajaan di luar negara dan pasangannya.

Katanya, SPR akan membuat pembaharuan dalam undi pos ini, iaitu urusannya pada pilihan raya akan datang dilakukan sendiri oleh pegawai suruhanjaya dan bukan lagi oleh pegawai tentera atau polis. Bagaimanapun, pengundian dibuat lebih awal kerana pada hari pilihan raya pegawai SPR sibuk bertugas di seluruh negara. Wakil parti juga dibenarkan masuk untuk menyaksikan sendiri undi pos ini.

Mengenai dakwat kekal, katanya cara ini digunakan di India dan negara Afrika yang mana kuku jari setiap pengundi dicalit dengan dakwat yang tidak boleh hilang selama beberapa hari. Cara ini lebih sukar dikawal dan lebih mudah ditipu. Sebelum Pilihan Raya Umum 2008, polis Bukit Aman memaklumkan SPR ada orang membeli dakwat kekal di selatan Thailand.


“Bagaimana jika dakwat kekal itu digunakan untuk mencalit jari pengundi di luar bandar. Tidakkah ia menimbulkan masalah dan kekecohan di pusat mengundi kelak?” kata Wan Ahmad.

Cara SPR menggunakan sistem biometrik yang lebih moden dan cepat tidak mendatangkan masalah.

“Kenapa harus kita patah balik ke zaman menggunakan dakwat seperti dilakukan di negara lain yang jumlah pengundinya jauh lebih besar berbanding hanya 12.3 juta di Malaysia,” tanyanya.

Penjelasan yang dibuat Timbalan Pengerusi SPR itu ternyata begitu informatif dan berguna. Adalah wajar ia diteruskan di seluruh negara bagi membolehkan rakyat lebih memahami apa yang sedang berlaku, walaupun mungkin tidak sempat habis sebelum 9 Julai ini, ia masih berguna untuk pilihan raya seterusnya.