Friday, January 1, 2010

Ceramah BTN berbaur perkauman tak benar

SAYA merujuk kepada penulis di akhbar The Sun (28 Disember) dan New Straits Times (NST) (29 Disember) yang mendakwa beliau mewakili keseluruhan 84 peserta induksi Kementerian Kesihatan Malaysia diadakan di Bayu Beach Resort, Port Dickson pada 18 hingga 24 Disember lalu.

Tidak dinafikan kursus induksi itu berlangsung lima hari, tiga hari dikendalikan kementerian dan dua hari terakhir peserta didedahkan dengan tiga ceramah dan peperiksaan Biro Tata Negara (BTN).

Bagaimanapun, apa yang ditulis penulis dalam kedua-dua akhbar itu merujuk apa yang berlaku pada sesi ceramah anjuran BTN sama sekali diputarbelitkan.

Akibat tersiarnya berita itu, saya dan rakan yang mengikuti kursus berkenaan berasakan kami difitnah, sehingga ada mentafsirkan kenyataan penulis menggambarkan kami bukan seorang intelektual, kerana tidak dapat memahami apa dinyatakan penceramah. Dalam erti kata yang lain, kami ini ‘dungu’.

Memang kami bergelar doktor muda (houseman), tetapi terus terang saya mengakui kami tidak tahu mengenai sejarah negara, apatah lagi mengenai kenegaraan sebelum mengikuti ceramah anjuran BTN.

Ceramah anjuran BTN yang didakwa oleh penulis berkenaan sebagai ‘perkauman’ adalah tidak benar kerana kami difahamkan setiap perkataan serta kenyataan dikeluarkan adalah merujuk kepada sumber sahih.

Penceramah meminta peserta mengetepikan ideologi politik serta asal usul supaya apa yang akan didedahkan dapat dibincangkan secara intelektual dan penceramah memohon peserta bertanya jika ada keraguan.

Pembentangan penceramah disertakan rujukan serta sumber kenyataan sama ada dari dalam negara, ahli akademik, pengamal undang-undang, hakim serta dokumen dan surat menyurat oleh British.

Kami didedahkan sejarah pembentukan negara secara terperinci. Memang agak terkejut dengan pendedahan itu tetapi kerana kami berjanji untuk melihat isu dibincangkan secara ilmiah dan bukan emosi, kami tidak menganggap ia adalah satu bentuk provokasi atau perkauman, sebaliknya ia adalah fakta.

Penceramah membawa kami untuk memahami apa yang terkandung dalam perlembagaan dan terus terang saya dan rakan lain berterima kasih kerana selama ini kami beranggapan sebagai seorang doktor tidak perlu tahu apa itu perlembagaan

Sebenarnya ia adalah satu kemestian kepada seorang warga negara mengetahui hak mereka berdasarkan perlembagaan. Kini kami faham apa yang dimaksudkan pendatang, kontrak sosial dan ketuanan Melayu yang sebenarnya seperti terkandung dalam perlembagaan.

Saya serta rakan bukan Melayu memahami perkara itu dan tidak menganggap ia sebagai perkauman. Kami berterima kasih kerana melalui pendedahan itu baru kami tahu kenapa pihak tertentu menggambarkan kursus BTN sebagai perkauman kerana pendedahan itu menyebabkan ‘tembelang’ mereka yang memutar belitkan fakta terdedah.

Di akhir ceramah, saya bersama rakan India dan Cina berjumpa penceramah dan mencadangkan maklumat diberikan disebarkan kepada mereka di luar sana yang memutar belitkan fakta sehingga menyebabkan perpecahan kaum di negara ini.

Akhir kata, saya mewakili sebahagian besar doktor muda yang mengikuti ceramah anjuran BTN meminta penulis berkenaan jangan memperlekehkan intelektual kami. Kami boleh menilai apa yang fakta dan apa yang tidak.



DOKTOR MUDA,

Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment