Tuesday, March 19, 2013

PAS BANGGA DENGAN ISU @PdrmMsia dan ATM #LahadDatu "SYAHID DUNIA"



Tanggal 6 Mac 2013 yang lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat para perajurit negara beragama Islam yang terkorban dalam misi mempertahankan negara berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu & Semporna, Sabah adalah tergolong sebagai syahid akhirat.

Pengumuman itu nyata disambut baik oleh khalayak umum dan mengubat kedukaan kaum keluarga yang sedang bersedih, di masa yang sama ia bagaikan satu suntikan semangat kepada ribuan perwira kita yang sedang berjuang menentang pengganas Kiram di medan tempur tika ini.

Bagaimana pun pada 17 Mac 2013 yang lepas, tak semena-mena Ketua Dewan Ulama PAS, Harun Taib bagaikan cuba menjatuhkan moral perajurit negara apabila mempertikaikannya ketetapan Majlis Fatwa dengan membuat andaian sendiri yang kematian para perajurit itu hanyalah syahid dunia.

Kenyataan pemimpin PAS itu jelas bermaksud memperlekehkan pandangan pihak yang jauh lebih berautoriti, seolah-olah mahu menonjolkan dirinya berkedudukan lebih tinggi berbanding Majlis Fatwa Kebangsaan.

Lebih mendukacitakan lagi apabila pada 19 Mac 2013 sekali lagi cuba memberi gambaran kepada umum bahawa syahid dunia jauh lebih baik berbanding syahid akhirat. Sedangkan hakikatnya kedudukan syahid akhirat berada di atas syahid dunia.

Syahid akhirat juga tidak terhad kepada orang yang mati lemas, mati dalam kebakaran atau wanita yang mati melahirkan anak, sebaliknya turut merangkumi orang Islam yang terkorban ketika mempertahankan harta benda, keluarga dan mereka yang mati ditembak kerana menjaga keselamatan negara.

Manakala syahid dunia sebagaimana disepakati para ulama hanya terhad pada orang Islam yang mati ketika peperangan yang niatnya bukan kerana Allah S.W.T, tetapi disebabkan faktor utama untuk membolot harta rampasan perang.

Adakah para perajurit kita di Lahad Datu berperang demi untuk membolot harta benda pengganas Kiram? Tentu sekali tidak. Malah mereka juga tidak pergi ke Sabah untuk merampas atau menjajah negeri itu, sebaliknya berjuang untuk pertahankan maruah dan keselamatan negara dari keganasan pengikut Kiram.

Tindakan Harun Taib memperlekehkan pandangan Majlis Fatwa mungkin menyenangkan hati penyokongnya tapi secara realitinya ia tidak pun menjadikan PAS kelihatan lebih tinggi. PAS cuma sebuah parti politik yang menggunakan label Islamik, manakala Majlis Fatwa kebangsaan tetap di tempatnya sebagai badan yang berautoriti di peringkat nasional.

Justeru itu, daripada PAS terus cuba meremehkan pandangan dan kedudukan Majlis Fatwa Kebangsaan, adalah lebih berbaloi untuk para pemimpin PAS bersatu hati dan fikiran dengan umat Islam yang lain dalam mendoakan semoga perajurit kita di Sabah tetap teguh berjuang.




JAWATANKUASA MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang semalam memutuskan anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah tergolong dalam syahid akhirat.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin, berkata jawatankuasa berpandangan kematian mereka dalam mempertahankan keselamatan rakyat dan negara sangat mulia di sisi agama.

“Jasa dan pengorbanan anggota keselamatan sangat besar kepada negara kerana mereka terkorban dalam mempertahankan keselamatan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan tiga perenggan, semalam.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Muhamad, berkata langkah kerajaan mempertahankan kawasan yang diceroboh bertepatan dengan syarak. Beliau berkata, kerajaan juga sudah menggunakan kebijaksanaan dan memberi tempoh rundingan damai seperti yang dituntut dalam Islam bagi mengelakkan pertumpahan darah.

Pertahan hak Katanya, bagaimanapun, jika mereka menolak proses perdamaian itu, pemerintah wajib melaksanakan tindakan demi mempertahankan hak dan kedaulatan negara.

“Islam menyuruh kita menggunakan kebijaksanaan dan langkah itu sudah diambil kerajaan. Namun, dalam isu ini mereka secara terang-terangan menolak proses perdamaian. Jadi, pemerintah berhak menggunakan tindakan sepatutnya,” katanya.

Mohd Shukri menegaskan, menceroboh negara lain walaupun sesama Islam adalah haram kerana ia bukan milik mereka.

Penasihat kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot, pula berkata, pencerobohan itu disifatkan sebagai perbuatan terkutuk dan menyalahi Islam.

“Tindakan mereka adalah haram sama sekali kerana melakukan pencerobohan ke atas apa yang bukan lagi hak milik mereka. Dalam al-Quran pun, Allah secara terang menegah manusia daripada mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. “Malah, perbuatan pencerobohan itu juga kalau dinilai dari segi logik akal fikiran dan undang-undang juga, adalah salah dan keterlaluan,” katanya.

Satu jihad Noh menyifatkan tindakan tegas diambil pihak berkuasa terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu jihad kerana bertujuan mempertahankan negara daripada ancaman musuh yang merosakkan.

“Saya menyokong 100 peratus tindakan tegas diambil pihak berkuasa ke atas pengganas kerana kita sudah memberi mereka tempoh yang cukup untuk melakukan sebarang perundingan secara damai,” katanya.

Pengurus Besar Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Samsudin Munir, pula menganggap pasukan keselamatan yang bertungkus lumus mempertahankan negara ketika ini sama seperti dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika baginda mempertahankan Kota Madinah.




No comments:

Post a Comment