Saturday, April 6, 2013

#ManifestoBN FOKUS WAWASAN 2020

Inti manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan diketahui malam ini dijangka memberi fokus terhadap aspek keselamatan, ekonomi dan kestabilan negara sebagai usaha untuk mencapai status negara maju sejajar dengan matlamat Wawasan 2020.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pendakian Malaysia ke puncak untuk mencapai sasaran tersebut sudah sampai ke tahap terakhir dan pembentangan manifesto juga seharusnya tidak lari daripada matlamat itu.

"Saya yakin fokus manifesto BN kali ini untuk membawa negara sebagai sebuah negara maju dan akan menumpukan kepada usaha-usaha untuk menjayakan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Selain itu, manifesto tersebut mungkin juga akan meneruskan agenda  transformasi yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Beliau menjelaskan, pengisian agenda transformasi ini termasuklah meringankan kos hidup, menambah peluang pekerjaan, meningkatkan kawalan keselamatan, mengurangkan kadar jenayah termasuk komitmen terhadap rasuah.

Katanya, sebagai Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengolah semula apa yang telah dilakukan melalui program transformasi yang telah diperkenalkan dan menekankan komitmen lebih tinggi bagi memastikan Malaysia berjaya dilonjakkan sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

"Kita perlu ingat, sekarang tahun 2013 dan dalam masa lima tahun lagi negara makin menghampiri tahun 2020.

"Beliau (Najib) dijangka memberi penekanan dalam aspek ini bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi dan dalam masa sama mengurangkan kadar pengangguran di samping membanyakkan peluang pekerjaan serta modal insan berkemahiran tinggi," katanya lagi.

Bagaimanapun ujar Mohamed Mustafa, dengan memfokuskan Wawasan 2020 tanpa memberikan tumpuan terhadap faktor keselamatan juga tidak bermakna.

Ini kerana katanya, sekalipun ekonomi negara berada dalam keadaan baik, faktor keselamatan perlu terjamin termasuk rasuah demi menjamin kestabilan politik negara berada dalam keadaan terkawal.

Seterusnya menurut beliau, bagi memastikan tahap keselamtan negara berada dalam keadaan baik dan aman, kerajaan masih perlu bekerja kuat.

"Walaupun diiktiraf antara negara yang selamat di dunia tapi masih kerja lebih kuat. Hal ini termasuk usaha untuk menangani kemasukan buruh dan pendatang asing yang banyak dan tidak terkawal.

"Selain itu, manifesto yang dibentangkan juga tidak akan mengecualikan elemen penting lain dalam pembentukan negara maju seperti isu pendidikan, sains dan teknologi serta hal berkaitan kebajikan wanita," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Profesor Dr Zakaria Kasa pula berpendapat, fokus manifesto BN dijangka memberi penumpuan terhadap pendidikan negara kerana ia merupakan isu hangat dalam masyarakat.

"Kita tahu bahawa isu berkaitan pendidikan kualiti amat dititikberatkan oleh rakyat Malaysia.

"Sehubungan itu, melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diluluskan baru-baru ini tersenarai perkara-perkara yang akan dilakukan kerajaan BN dalam usaha untuk mentransformasikan pendidikan.

"Mungkin manifesto itu juga akan membicarakan mengenai pelaksanaan pelan tersebut dan menjelang tahun 2025, kita boleh mendapati beberapa cadangan termasuk anjakan serta strategi yang akan dilaksanakan untuk kebaikan masyarakat," katanya.

Beliau menambah, apa yang perlu diteliti oleh rakyat adalah perubahan yang akan dibuat melalui pelan itu terutamanya dalam memberi impak secara terus kepada ibu bapa, pelajar dan seterusnya kepada negara.

Katanya lagi, dalam usaha menuju ke arah negara maju, pelan tersebut turut menjurus ke arah membawa sistem persekolahan negara seperti di negara-negara maju.

Mengulas perkara sama, Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN, Profesor Dr Nor Ghani Md Nor menekankan bahawa perkara berkaitan ekonomi negara mungkin menjadi antara inti penting manifesto BN.

Jelas belia, dari sudut ekonomi, ia akan memberikan kesan terhadap peningkatan pendapatan tinggi yang dijangka turut diberi penekanan.

Selain itu katanya, penekanan terhadap keperluan untuk mengekalkan kestabilan, kesinambungan dasar-dasar sedia ada untuk menjamin pertumbuhan ekonomi secara berterusan.

"Secara tidak langsung, manifesto itu akan memberitahu rakyat bahawa langkah untuk meneruskan dan mencapai tahap pendapatan tinggi, rakyat perlu mengekalkan apa yang sedia ada," katanya lagi.

Dalam pada itu, Prof Rahman Shaari pula berpendapat bahawa manifesto BN akan menyentuh bentuk janji berdasarkan pemberian bantuan kepada rakyat yang jelas dan ketara yang dibuat sebelum ini.

"Bantuan kepada golongan sasaran seperti Bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia, Bantuan Lesen 1Malaysia dan pelbagai lagi semua pemberian adalah jelas penerimanya.

"Jadi tidak mustahil jika manifesto BN yang akan dibentangkan akan menyasarkan golongan sasaran yang sama seperti ini kerana Najib sebagai Perdana Menteri berjaya mencari jalan untuk membantu rakyat dengan lebih jelas dan ketara," katanya lagi.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment