Sunday, January 10, 2010

Juara Rakyat prihatin semua kaum, agama

PROGRAM Juara Rakyat yang dilancarkan kelmarin, mencerminkan kesungguhan kerajaan menunaikan janji dan melaksanakan amanah yang diberikan rakyat. Ia juga dibuat sebagai kesinambungan tradisi kerajaan, khususnya Umno untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan menyelami degup jantung mereka. Seperti digariskan Datuk Seri Najib Razak pada pelancarannya, program Juara Rakyat berpaksi kepada keprihatinan dan sensitiviti kerajaan untuk menyelesaikan apa jua masalah di seluruh negara demi memastikan Barisan Nasional (BN) dan Umno sentiasa peka dengan tuntutan akar umbi. Sungguhpun usaha itu memang sentiasa dilakukan sepanjang lebih 50 tahun BN menerajui kepemimpinan, Juara Rakyat akan memperbaharui kaedah pelaksanaannya supaya lebih sistematik dan berkesan. Walaupun ditunjangi Umno, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan komited supaya semua parti komponen BN merangka inisiatif yang sejajar dengan Juara Rakyat bagi memastikan ia boleh disertai semua kaum sekali gus mengelak tanggapan ia hanya memperjuangkan nasib sesuatu kaum saja. Mengambil kira sasaran semua bahagian parti akan melaksanakan sekurang-kurangnya satu program seumpama itu setiap bulan, kita yakin Juara Rakyat dapat membuat transformasi terhadap landskap sistem sosial dan politik negara. Ini kerana ia adalah satu-satunya inisiatif berteraskan membela nasib rakyat yang paling komprehensif pernah diambil mana-mana pihak sehingga ini.

Mengambil kira impak besar bakal dijana program Juara Rakyat dalam jangka pendek dan sederhana, kita boleh menjangka tiupan suara sumbang memperlekehkannya akan mula kedengaran tidak lama lagi. Dakwaan kononnya ia propaganda politik kerajaan untuk mengukuhkan lagi sokongan atau kempen untuk meraih populariti pasti dijadikan modal pihak tertentu untuk menggugat kejayaannya. Bagaimanapun, sebagai masyarakat yang matang, kita tentunya sedar bahawa tuduhan itu tidak berasas. Juara Rakyat lahir daripada hasrat kerajaan untuk memikul amanah yang diberikan rakyat dengan sebaik-baiknya. Ia dibuat sebagai bukti keinsafan BN terhadap isyarat dan teguran yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum lalu. Ia juga adalah lambang ikrar kerajaan bahawa kepentingan umum akan sentiasa menjadi perkara pokok dalam setiap yang diperjuangkannya. Lebih daripada itu, Juara Rakyat tidak mengenal batas sempadan kaum, agama atau politik. Ia adalah satu gagasan yang dibuat secara menyeluruh ke segenap pelosok negara dengan matlamat untuk melihat kesejahteraan dan mutu hidup rakyat dapat ditingkatkan. Dengan mengambil kira hakikat bahawa pihak yang akan mendapat manfaat sebenar daripada program itu ialah rakyat sendiri, Juara Rakyat diharap dapat menjadi platform terbaik untuk semua pihak menyuarakan bukan saja keluhan atau masalah, malah juga aspirasi mereka kepada kerajaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...