SAYA rasa amat sedih dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kalimah Allah diguna pakai dalam penerbitan mingguan agama bukan Islam. Kalimah Allah diguna pakai umat Islam dalam kalimah syahadah. Ia sangat suci kepada umat Islam kerana kalimah Allah melambangkan Esa. Tiada sekutu bagi Allah mana-mana Tuhan pun di dunia ini.
Namun, hakim sudah membuat keputusan maka umat Islam hendaklah akur. Namun, masih ada ruang dalam perundangan negara untuk merayu atau membatalkan keputusan hakim berkenaan. Adil kepada Islam. Adil kepada bukan Islam. Adakah keputusan itu adil kepada Islam? Kalimah Allah dan Islam tidak boleh dipisahkan.
Islam adalah agama rasmi negara. Yang di-Pertuan Agong pula ketua agama Islam. Seseorang yang ingin memeluk Islam sebagai akidah yang diyakini maka mereka wajib berikrar dengan menyebut ‘Aku Bersaksi Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW Itu Pesuruh Allah’.
Kalimah inilah yang membezakan Islam dengan agama yang lain, sedangkan proses menganut agama lain juga berbagai-bagai.
Apabila orang Islam berikrar demikian maka menjadi tanggungjawab mereka mempertahankan ikrar itu sepanjang masa dalam kehidupan seharian mereka supaya menjadi hamba Allah yang bertakwa dan taat di dunia dan akhirat.
Oleh kerana Islam diturunkan dalam bahasa Arab maka kalimah Allah disebut dalam bahasa Arab juga. Maka saya menyokong sebarang usaha sama ada melalui perundangan negara, melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong, OIC, Kerajaan Arab Saudi, ulama Islam sedunia dan sebagainya demi memelihara kesucian kalimah Allah agar tidak disalah guna pihak tertentu untuk membawa ajaran yang bertentangan dengan konsep kalimah Allah menurut Islam.
No comments:
Post a Comment