Sunday, September 29, 2013
PEMILIHAN UMNO BUKAN PESTA MEREBUT JAWATAN! @TengkuAdnanreal @NajibRazak
Sekiranya tiada aral melintang, tinggal 20 hari saja lagi pemilihan UMNO bagi peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan bahagian akan diadakan atau lebih tepat lagi pada 19 Oktober. Pemilihan di peringkat sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri diadakan lebih awal iaitu pada 12 Oktober. Setakat ini, tiada sebarang kekecohan atau bantahan ketara disuarakan calon kecuali ada suara yang mendesak supaya syarat kempen dilonggarkan atau dikaji semula bagi membolehkan calon turun berkempen bertemu perwakilan.
Wartawan BH, Mohd Anwar Patho Rohman menemubual Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh berhubung masalah itu di samping mendapat gambaran perjalanan pemilihan UMNO setakat ini yang julung kali mengguna pakai format baru selepas pindaan Perlembagaan parti pada 2009.
Wartawan: Pemilihan UMNO sudah semakin hampir dan senarai calon yang bakal bertanding juga sudah diketahui serta akan dimuktamadkan pada 7 Oktober ini. Setakat ini, bagaimanakah perjalanan proses pemilihan yang menggunakan format baru kali ini?
Tengku Adnan: Secara keseluruhannya, perjalanan proses pemilihan parti berjalan lancar seperti yang dijangkakan. Kita juga sudah mengenal pasti beberapa masalah yang timbul terutama pada proses penamaan calon. Kita akan memperbaikinya terutama membabitkan kes nombor calon dan langkah pengagihan kuasa menerima pencalonan dari Ibu Pejabat UMNO ke UMNO negeri. Ada suara meminta supaya ia patut dilakukan secara bersepadu dan kita cuba tetapi Jawatankuasa Pemilihan tidak membenarkannya, maka calon terpaksa pergi pejabat Perhubungan UMNO negeri untuk menyerahkan borang pencalonan.
Selain itu, kita juga melihat ada ahli yang cuba mengambil kesempatan terutama di cawangan dan bahagian yang menjadikan pemilihan kali sebagai pesta. Ini bukan pesta. Pemilihan UMNO bukan satu pesta merebut jawatan. Ia satu komitmen. Ahli perlu tahu apa perjuangan UMNO, apa Perlembagaannya. Jika hendak jadi pemimpin parti, perlu tahu kita tidak boleh fikir diri sendiri tetapi fikir untuk rakyat. Ini kerana UMNO adalah parti memayungi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Ini yang harus diketahui kerana UMNO adalah tulang belakang kepada kerajaan memerintah. Sebab itu ahli harus sedar kehendak Presiden parti yang mahu UMNO menjadi parti inklusif kerana parti ini ditohmah sebagai parti elitis, mengamalkan nepotisme dan menyekat, pada hal kita tidak pernah menyekat peluang ahli lain.
Dalam pemilihan kali ini, kita membuka ruang untuk ahli bertanding. Apabila ini berlaku, ada baik dan buruknya. Yang buruknya, ada ahli yang mengambil kesempatan mencalonkan diri untuk merebut jawatan tertentu. Apabila ditanya mengapa hendak bertanding, alasannya kerana dendam. Kemudian mengugut. Ini yang berlaku. Justeru, saya sedang meneliti dan mengkaji serta sudah melaporkan kepada Timbalan Presiden selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan masalah ini. Jawatankuasa Pemilihan juga akan mengumpul masalah yang berlaku ketika proses penamaan calon. Selepas ini kita akan melihat pula perjalanan persidangan bahagian dan kita akan melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan serta Majlis Tertinggi (MT) untuk perbaiki kelemahan yang berlaku.
S: Jawatankuasa Pemilihan pada Rabu lalu mengesahkan seramai 33,942 calon akan bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan parti bulan depan. Kita juga menyaksikan seramai 269 calon menarik diri. Dalam pada itu, seramai 260 calon menawarkan diri merebut jawatan di peringkat MT dan tiga sayap parti. Apa yang dapat Datuk Seri rumuskan berdasarkan angka yang ditunjukkan ini?
J: Ini menunjukkan UMNO bukan seperti apa yang dituduh yang dikatakan mengekang dan menyekat ahlinya untuk bertanding. Padahal dari dulu sampai sekarang pun masih begitu juga sifatnya UMNO ini. Kalau ada perbezaan pun mungkin dari segi jumlah calon yang hendak bertanding. Dulu orang hendak bertanding perlu memenuhi syarat pencalonan tetapi kali ini kita benarkan semua bertanding kerana kita tidak ada sekatan pencalonan. Ada baik dan buruknya sekatan dan ada juga buruk serta baiknya apabila tiada sekatan. Ini masalah yang kita akan lihat semula untuk memastikan parti dapat meneruskan perjuangannya.
S: Apa maksud ‘lihat’ itu Datuk Seri?
J: Kita akan lihat, membuat kajian terhadap format dan peraturan pemilihan kali ini. Kita akan analisis barangkali ada kecacatan pada formatnya perlu perbaiki. Ini kali pertama dalam sejarah apabila satu parti mempunyai cara memilih pimpinan parti membabitkan lebih 140,000 perwakilan akan memilih calon yang bertanding pada 12 dan 19 Oktober ini.
S: Ada calon mengeluh dengan peraturan berkempen yang ditetapkan parti yang mereka anggap tidak demokratik dan menyekat calon untuk bersemuka dengan perwakilan seperti tidak boleh mengadakan majlis jamuan. Boleh Datuk Seri jelaskan?
J: Kita ada tata etika pemilihan seperti ditetapkan Lembaga Disiplin. Kita tidak menyekat malahan semua calon boleh berkempen, boleh jumpa orang dan perwakilan tetapi mesti mengikut etika. Sekarang, kita membenarkan calon mencetak kad dan nombor calon. Soalnya kini, mereka yang mengeluh ini saya hendak tanya, kalau hendak bertanding, sudah tentu mereka sedar mereka dikenali. Kalau hendak bertanding di peringkat bahagian, negeri atau Pusat, adakah mereka dikenali. Kalau tidak dikenali, buat apa bertanding.
Kita juga akan mengadakan program Jelajah Calon di seluruh negara untuk memperkenalkan calon. Akan tetapi pada saya, tidak perlu pun program seperti itu kerana kalau calon itu betul-betul hendak bertanding, sudah tentu mereka tahu adakah mereka popular atau tidak di bahagian atau peringkat tertinggi. Mereka yang tidak begitu dikenali ini saya hendak tanya adakah bertanding hanya untuk ‘syok-syok’ mahu merosakkan parti? Kita juga sebenarnya sedang membuat analisis kerana mengesan anasir luar bersama pembangkang yang ingin melihat pemilihan parti ini gagal dengan memperguna ahli UMNO yang tidak sedar diri mereka dipergunakan anasir luar ini.
Apa yang berlaku ini menunjukkan mereka mahu mensabotaj pemilihan UMNO. Sebab itu saya bersyukur kerana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kekal tiada pertandingan, begitu juga beberapa jawatan Ketua Bahagian menang tanpa bertanding. Masalahnya sekarang, mereka yang saja suka-suka hendak bertanding. Anasir luar seperti ‘anai-anai’ ini jangan menyangka saya tidak tahu siapa anai-anai yang hendak merosakkan UMNO di peringkat bahagian dan Pusat.
S: Akan tetapi Datuk Seri, ramai calon mendakwa peraturan kempen itu hanya menguntungkan calon sudah dikenali dan menyekat peluang muka baru atau orang muda untuk merebut jawatan dalam parti. Rata-rata calon bertanding mahu mencuba nasib bagi merebut jawatan tertentu. Malah ada yang bimbang peraturan itu akan menyekat peluang mereka.
J: Mana ada ‘mencuba nasib’ dalam politik. Ini bukan nasib. Politik bukan satu kerjaya. Mereka mesti sedar dalam politik, jika hendak bertanding, tidak boleh anggap jawatan direbut itu sebagai kerjaya. Kita perlu sedar, bertanding adalah untuk menawarkan khidmat kepada masyarakat, agama dan negara. Kedua, calon mesti ikhlas dan amanah. Ini yang menjadi masalah segelintir ahli UMNO. Mereka sangka dengan masuk UMNO akan dapat duit, akan dapat kontrak atau masuk UMNO tiket menjadi menteri. Saya pun hairan mengapa calon hendak bimbang. Kalau dia tahu dirinya tidak popular, jangan jadi calon. Kalau ada calon bimbang, pasti ada sesuatu tidak kena pada dirinya. Takut kepada bayang-bayang sendiri.
Namun, untuk mengatasi kekeliruan kepada perkara ini, calon dan perwakilan tidak perlu bimbang. UMNO akan mencetak buku mengandungi maklumat calon berserta gambar mereka untuk diedarkan kepada seluruh perwakilan yang bersidang nanti. Buku itu akan dicetak selepas senarai nama calon dimuktamadkan. Bermakna calon tidak perlu bimbang perwakilan tidak mengenali mereka dan perwakilan pula boleh mengenal pasti calon mana yang mereka akan pilih pada hari persidangan bahagian atau sayap, nanti. Dalam aspek ini saja, berapa banyak kos yang UMNO perlu tanggung untuk memastikan pemilihan berjalan lancar.
S: Bermakna, soal persepsi seperti yang Datuk Seri sebutkan itu menjadi penyebab rakyat berpandangan negatif kepada UMNO?
J: Ya. Ini yang menyebabkan orang menyampah kepada UMNO. Kita ada tata etika, ikut saja. Malangnya, ada ahli yang bertanding menjadi taksub. Jika kalah, mereka salahkan UMNO. Yang muda pula, kalau tidak terpilih, menganggap UMNO menyekat. UMNO tidak pernah menyekat sesiapa dalam sejarahnya. Cuba lihat Datuk Seri Najib Razak dulu berapa umurnya menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Besar Pahang. Begitu juga Tan Sri Rahim Tamby Chik, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Cuba fikirkan semula contoh ini. Kita tidak pernah menyekat orang muda atau calon baru untuk naik. Akan tetapi cuba tengok apabila kita buka pertandingan kepada semua, berapa ramai hendak merebut jawatan Ketua Pemuda? Adakah mereka sudah cermin diri mereka sendiri sebelum mengumumkan hendak merebut jawatan? Saya bukan campur tangan, tetapi kalau hendak bertanding, ukurlah baju di badan sendiri.
S: Seperkara yang dapat dilihat, majoriti calon bertanding terutama di peringkat sayap menjelaskan tujuan mereka bertanding adalah untuk menawarkan diri berkhidmat kepada parti. Boleh Datuk Seri ulas?
J: Ada pelbagai cara yang orang UMNO boleh lakukan untuk berkhidmat kepada parti. Adakah perlukan jawatan untuk berkhidmat kepada parti? UMNO adalah wadah perjuangan yang mempunyai matlamat di mana kita mahu berada. UMNO sentiasa memperbaharui semangat perjuangannya, melalui proses evolusi mengikut peredaran masa. Sebab itu UMNO berjaya mendapat lebih kerusi dalam pilihan raya umum yang lalu berbanding parti lain. Ini menunjukkan rakyat faham perjuangan UMNO. Apa yang saya bimbang ahli mungkin tidak faham perjuangan UMNO. Dalam konteks hari ini, kita hendakkan rakyat dan undi. Ahli saja tidak mencukupi.
S: Senarai calon yang agak ramai kali ini dikatakan boleh menyebabkan perwakilan sukar untuk memilih calon yang mereka fikir layak untuk diangkat menjadi pemimpin UMNO. Bagaimana UMNO hendak memastikan perwakilan akan memilih calon yang betul-betul layak untuk menjadi pemimpin tertinggi parti seperti dalam jawatan MT dan sayap parti?
J: Itulah sebabnya, pemilihan ini dapat menilai sejauh mana kematangan perwakilan. Jika ada perwakilan yang memilih secara tangkap muat saja, itu bermakna mereka tidak matang dan jujur. Perwakilan perlu sedar, siapa yang akan dipilih itu menjadi faktor penentu masa depan bangsa, agama dan negara. Jangan hanya gembira menjadi perwakilan tetapi tidak amanah dalam memilih.
S: Adakah UMNO sudah menjangkakan akan berlaku perkara tidak diingini pada hari pemilihan nanti seperti protes dan demonstrasi ahli yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan?
J: Tidak mustahil akan berlaku perkara tidak diingini kerana kita tidak boleh meneka apa yang dirasakan calon dan ahli. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Cuma kita berharap calon dan perwakilan dapat mengawal emosi masing-masing. Cuma, kita minta dan harap calon bertanding secara berhemah dan dalam suasana kekeluargaan.
Calon terima baik format baru pemilihan
Wartawan: Boleh Datuk ulas mengenai perjalanan pemilihan UMNO setakat ini terutama selepas berakhir proses penamaan calon minggu lalu?
Ab Rauf: Semua orang sedia maklum bahawa ini kali pertama format baru pertandingan dilaksanakan selepas pindaan Perlembagaan parti dibuat dilakukan selepas 2009. Semua orang yang terbabit dalam Jawatankuasa Pemilihan UMNO termasuk Urus Setia Pemilihan di ibu pejabat UMNO menyahut cabaran ini bagi memastikan pelaksanaannya tidak memberi kesan negatif kepada parti. Sepanjang tempoh penamaan calon dan penyediaan logistik penamaan calon, semuanya berjalan baik di semua peringkat. Kita juga melihat semua calon dapat menerima kaedah baru pertandingan manakala penyediaan dilakukan urus setia juga mencapai tahap baik. Sepanjang tempoh pengambilan borang yang diambil calon di semua peringkat sama ada negeri atau Pusat tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Jika berlaku kekecohan pun hanya berlaku di peringkat awal saja dan selepas itu semuanya terkawal.
S: Senarai calon yang akan bertanding dalam pemilihan kali ini sudah diumumkan dan menunggu masa untuk dimuktamadkan Rabu ini. Berdasarkan senarai terbabit, apa yang boleh Datuk rumuskan?
J: Saya lihat dalam senarai calon yang menawarkan diri bertanding kali ini, penghargaan harus diberikan kepada orang muda terutama dari Pemuda UMNO. Mereka menunjukkan kematangan apabila ramai tokoh Pemuda tampil dan menawarkan diri untuk bertanding termasuk di peringkat Majlis Tertinggi (MT) atau peringkat arus perdana. Antara sayap UMNO yang mempunyai calon paling ramai bertanding ialah daripada Pemuda. Saya beranggapan Pemuda UMNO menunjukkan satu semangat daya juang yang tinggi untuk melahirkan pewaris yang akan meneruskan perjuangan parti demi kelangsungan dan survival UMNO serta orang Melayu. Semangat ini menunjukkan Pemuda dalam keadaan bersedia memikul cabaran memajukan parti dengan menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi.
S: Bagaimana pula dengan sayap UMNO yang lain seperti Wanita dan Puteri?
J: Wanita seperti yang kita tahu mereka sudah matang. Mereka faham dan sedar perjuangan parti ini bagaimana. Akan tetapi, ada sesuatu yang agak aneh berlaku kepada Puteri. Mungkin kerana mereka sayap baru UMNO, maka ahlinya tidak begitu merasai kehangatan pertandingan kali ini. Saya pun musykil mengapa hanya ada 36 calon saja dari Puteri yang akan bertanding berbanding 77 orang di Pemuda. Kita akan membuat kajian mengenai perkara ini mengapa calon Puteri amat kurang. Apakah faktornya seperti kurang galakan daripada pucuk pimpinan mereka, atau mungkin tidak berani untuk bertanding. Itu semua perlu dikaji. Jangan ambil kira sebab mereka sudah matang. Puteri mungkin kerana ia sayap baru maka kehangatan pemilihan ini mungkin mereka tidak rasa lagi. Hanya 36 orang calon saja dari Puteri, Pemuda 77 orang. Kita akan buat kajian mengapa calon Puteri berkurangan. Mungkin tidak berani, tiada galakan.
S: Bagaimana dengan persiapan Jawatankuasa Pemilihan dan Urusetia Pemilihan. Adakah sudah bersedia sepenuhnya atau masih perlu melakukan sesuatu untuk melancarkan pemilihan kali ini?
J: Semua sudah siap. Logistik dan kertas pemilihan serta pegawai pengurus pemilihan juga bersedia. Kita juga menyampaikan taklimat serta mengadakan simulasi pemilihan di Pusat Latihan UMNO di Janda Baik dan wakil dari seluruh negara akan dipanggil untuk berkampung bagi merasai simulasi pemilihan berkenaan.
S: Apa pendapat Datuk apabila ada suara akar umbi UMNO dan calon yang kurang senang kemunculan calon veteran merebut jawatan MT atas alasan tidak mencerminkan proses transformasi dan meremajakan parti?
J: Itu tidak mengapa. Ahli parti tidak mencerminkan usia. Semua ahli UMNO berhak menggunakan haknya untuk bertanding. Apa yang perlu diketahui, perwakilan yang akan memilih siapa yang akan menjadi pemimpin UMNO. Terserah kepada perwakilan dan pucuk pimpinan di peringkat akar umbi untuk membuat keputusan.
EHSAN: BHARIAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment