Tuesday, January 12, 2010

Subsidi gula: Siapa untung, siapa rugi


WAJARKAH kerajaan terus memberikan subsidi gula? Siapakah yang akan mendapat manfaat daripada subsidi itu dan bagaimana memastikan ia boleh mengelak ketirisan? Apa yang nyata, Malaysia memang dianggap sebagai negara yang prihatin untuk membela nasib rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Malah, Malaysia adalah satu-satunya negara yang memberikan subsidi gula kepada rakyat. Sejak tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM720 juta setahun untuk menanggung kos subsidi gula bagi memastikan harga gula bertapis berada pada paras RM1.65 sen sekilogram yang diperoleh di pasaran sekarang.
Sekiranya tanpa subsidi gula, pengguna kini terpaksa membeli mengikut harga pasaran dunia, iaitu RM2.45 sekilogram dan itu pasti akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan akan memansuhkan terus subsidi gula menegaskan setakat ini, belum ada keputusan pemansuhan itu, sebaliknya terus memberikan subsidi demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Jika kerajaan tidak membantu menyediakan subsidi gula (pada paras 80 sen sekilogram sekarang) rakyat akan menanggung harga tinggi, sekali gus menimbulkan ketidakpuasan dan membangkitkan kemarahan masyarakat.
"Tahun lalu, kita sediakan RM720 juta subsidi berikutan harga pasaran gula dunia naik secara mendadak. Malah, tahun ini kerajaan terus menanggung kos subsidi, iaitu berjumlah RM1.008 bilion bagi mengekalkan harganya.

"Pada masa ini, kerajaan mengimport 70 peratus gula mengikut perjanjian jangka panjang yang tamat dua tahun lagi dan 30 peratus lagi bekalan diimport dengan harga semasa. Oleh itu, kita tidak berhasrat menarik balik subsidi gula, walaupun perjanjian pembelian bekalan dari beberapa negara pengeluar tamat pada 2011," katanya.

Justeru, sebarang pemansuhan terus subsidi itu perlu mengambil kira banyak aspek dan ia tidak boleh dilaksanakan. Pada dasarnya, penggunaan gula menjadi keperluan utama masyarakat, selain digunakan secara meluas dalam industri pemakanan dan minuman di negara ini.

Tidak mustahil baru saja kedengaran desas-desus kerajaan akan menaikkan harga gula, orang ramai mula panik dan membeli pada kadar banyak. Pada masa sama, bekalan gula semakin susut di pasar raya dan kedai kerana mereka mula mencatu pembelian gula bagi membanteras kegiatan menyorok komoditi itu.
Apabila berlaku saja kenaikan harga gula, peniaga dan pengusaha makanan dan minuman pula mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman mereka. Ini akhirnya memberi implikasi ke atas pengguna yang terpaksa menanggung segala kos kenaikan harga barang berkenaan.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) tegas dengan pendirian mereka mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan subsidi gula dengan alasan hanya pihak tertentu, khususnya peniaga dan pengusaha saja mendapat manfaatnya kerana menggunakan kadar gula yang banyak dalam industri mereka.

Justeru, Setiausaha Agungnya, Muhamad Shaani Abdullah mahu subsidi gula dimansuhkan untuk memberikan keadilan kepada pengguna dan bukannya pihak tertentu seperti peniaga yang menggunakan banyak gula dalam industri mereka.

Katanya, subsidi sebenarnya tidak membantu golongan yang memerlukan khususnya pengguna kerana mereka hanya menggunakan gula pada kadar rendah mengikut jumlah isi rumah berbanding pihak pengusaha tertentu. Justeru, hanya golongan peniaga berkenaan yang mendapat nikmat daripada subsidi itu.

"Sebagai contoh pengusaha biskut. Mereka sudah pasti memerlukan gula yang banyak dalam industrinya. Dengan ada subsidi, golongan ini yang terus mengaut untung. Jika kita hapuskan subsidi, ia tidak menjejas atau membebankan pengguna yang majoritinya menggunakan gula yang sedikit saja setiap hari," katanya.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan pemansuhan subsidi itu perlu dilakukan secara berperingkat supaya tidak menimbulkan kejutan kepada pelbagai pihak, khususnya pengguna yang sering kali tidak berpuas hati apabila berlaku kenaikan harga barangan.

Pendekatan kerajaan sekarang yang menaikkan harga gula daripada RM1.45 sen kepada RM1.65 sen di Semenanjung, manakala RM1.75 sen di Sabah dan Sarawak dianggap langkah terbaik sebagai proses peralihan secara berperingkat kepada pemansuhan subsidi sepenuhnya.

Sebagai pengusaha dan peniaga, mereka sememangnya akan terus memaksimumkan keuntungan dalam keadaan apa sekalipun. Bagaimanapun dalam hal ini, pengusaha dan peniaga perlu bekerjasama serta mempunyai tanggungjawab sosial tidak mengaut keuntungan atas sebarang kenaikan sesuatu produk, termasuk gula.

Bagi pengguna pula, mereka juga perlu lebih sensitif dan bersatu hati untuk memboikot peniaga yang menaikkan harga makanan, minuman atau barang.

"Perlindungan kendiri ini adalah proses terbaik untuk memperkukuhkan diri dalam berdepan sebarang perubahan dilakukan kerajaan. Dalam teori penetapan harga, penawaran dan permintaan sesuatu barang dapat boleh dikawal jika pengguna bersatu hati dalam memerangi keegoan peniaga," katanya.

Apa juga alasannya, pengambilan gula memang penting untuk kesihatan dan kecergasan badan, tetapi jika diambil secara berlebihan, ia boleh mengundang pelbagai penyakit seperti diabetes.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...