PUTRAJAYA – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kesal apabila tawaran siar manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ditolak oleh Pakatan Rakyat bulat-bulat.
Sebaliknya kata beliau, tawaran yang diumumkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim itu, yang membenarkan semua parti politik membentangkan manifesto menerusi siaran RTM selama 10 minit, perlu diteliti terlebih dahulu.
"Mereka (Pakatan Rakyat) tuduh kita tak beri ruang, SPR usahakan bersungguh-sungguh kepada semua parti politik supaya dasar politik mereka dapat didengar dan dilihat rakyat.
"... memang betul disebut 10 minit, tapi perincian syarat itu kami belum terima lagi, mungkin 10 minit itu berkali-kali, namun pada dasarnya kita dan dapatkan ruang untuk mereka bercakap," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Kelmarin, Majlis Pimpinan PR sebulat suara menolak tawaran siaran selama 10 minit.
Abdul Aziz merayu agar PR mempertimbangkan semula tawaran yang telah diusahakan SPR itu dan jika timbul rasa tidak puas hati, mereka boleh menyatakan syor agar dapat diperhalusi sekali gus menepis dakwaan mereka bahawa SPR berat sebelah dalam memberi liputan media yang adil kepada mereka sepanjang proses berkempen pada PRU13.
"SPR bercadang sebaik saja dapat garis panduan ini daripada Kementerian Penerangan, kita nak panggil semua parti politik.
"... belum dapat butiran lagi sudah ditolak begitu saja, walhal saya banyak kali turun naik untuk dapatkan ruang siaran itu kepada mereka, mereka sepatutnya hargai, bukan tolak mentah-mentah," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment