Thursday, March 28, 2013

PENDAPATAN ISIRUMAH MENINGKAT SBB EKONOMI KUKUH #BNBagus

Pendapatan isi rumah bulanan purata di Malaysia meningkat secara menyeluruh sebanyak 6.6 peratus setahun di bandar dan 6.4 peratus di luar bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 menunjukkan peningkatan pendapatan isi rumah bandar daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 pada 2012.

Katanya, pendapatan isi rumah luar bandar pula bertambah daripada RM2,545 kepada RM3,080 dalam tempoh yang sama.

''Ini merupakan petanda kejayaan kerajaan dalam usaha menggalakkan pembinaan landasan ekonomi yang kukuh melalui pelebaran pembangunan di kawasan bandar bagi memenuhi kepesatan urbanisasi yang menempatkan lebih 71 peratus penduduk.

''Peningkatan di luar bandar antara lain disumbangkan melalui usaha Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan pelbagai infrastruktur selain penawaran program dan skim yang boleh menjana pendapatan penduduk," katanya ketika mengumumkan hasil PPIR di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Dr. Abdul. Rahman Hasan dan Ketua Pengarah EPU, Datuk Dr. Rahanat Bivi Yusoff .

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terdahulu mengumumkan pendapatan isi rumah bulanan negara keseluruhannya meningkat secara ketara iaitu daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 pada 2012.

Nor Mohamed berkata, semua negeri mencatatkan peningkatan pendapatan isi rumah purata dengan Kuala Lumpur mempunyai kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.9 peratus.

Beliau berkata, banyak negeri termasuk Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan Labuan mencatatkan kadar pertumbuhan mengatasi kadar kebangsaan sebanyak 7.2 peratus.

Dari segi kategori etnik pula, Nor Mohamed berkata, pendapatan isi rumah bulanan bumiputera meningkat 6.9 peratus kepada RM4,457 sebulan manakala Cina dan India meningkat lapan peratus dan sembilan peratus, masing-masing kepada RM6,366 dan RM5,233.

Katanya, Pekali Gini yang diguna untuk mengukur jurang pendapatan mencatatkan pengurangan daripada 0.441 pada 2009 kepada 0.431 pada 2012 sekali gus menunjukkan pengagihan pendapatan kalangan isi rumah yang bertambah baik.

''Pekali Gini bagi bumiputera terus bertambah baik daripada 0.440 (2009) kepada 0.421 (2012) dan Cina bertambah baik daripada 0.425 (2009) kepada 0.422 (2012).

''Pekali Gini bagi kaum India bagaimanapun menunjukkan peningkatan daripada 0.424 (2009) kepada 0.443 (2012) yang mencerminkan peningkatan ketidakseimbangan dalam kaum India.

''Keadaan dalam kaum India ini disebabkan pertumbuhan pendapatan lebih pantas bagi kumpulan berpendapatan tinggi dan sederhana berbanding kumpulan berpendapatan rendah," katanya.

Mengenai kemiskinan, beliau memberitahu, pembangunan sosioekonomi yang menyeluruh membolehkan kemiskinan berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus pada 2012 manakala isi rumah miskin berkurangan 52.7 peratus daripada 228,400 kepada 108,000.

''Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada dua peratus pada 2015 telah pun tercapai tiga tahun lebih awal,'' katanya.



Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...