Thursday, April 4, 2013

JANJI TERBAIK!PTPTN HAPUS BILA MENANGI PRU13 #pakatanrosak

Hasrat pembangkang memperkenalkan pendidikan percuma seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) mereka dilihat sukar dijadikan realiti memandangkan implikasi kewangan yang bakal ditanggung kerajaan adalah cukup besar.

Antara lain, pakatan pembangkang ingin menghapuskan yuran pengajian institusi pengajian tinggi awam (IPTA), memberikan subsidi yuran kepada pelajar di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), memberi elaun sara hidup kepada pelajar di IPTA serta menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Hakikatnya, penghapusan PTPTN akan menyebabkan kerajaan perlu menanggung hutang institusi kewangan sebanyak RM26.9 bilion dan kos dana sebanyak RM10.8 bilion.

Bayaran balik yang telah diterima sehingga 31 Jan lepas sebanyak RM3.8 bilion pula perlu dikembalikan semula kepada peminjam yang telah membuat bayaran balik.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pihak swasta memerlukan perbelanjaan untuk menggerakkan institusi mereka iaitu daripada yuran yang dikenakan terhadap pelajar mereka.

"Kerajaan sudah memberi kemudahan pinjaman, pelajar yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian di IPTA boleh memohon ke IPTS dan dalam masa sama ia akan membangunkan pendidikan swasta, ia merupakan salah satu cabang perniagaan di negara ini.

"Hari ini kita ada beratus-ratus kolej dan kolej universiti swasta, mereka juga memainkan peranan penting dalam membawa pelajar luar negara belajar di sini," katanya kepada Bernama di sini.

Alimuddin yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad berkata sistem seumpama ini telah mengembangkan lagi industri pendidikan tinggi di negara ini dan apa yang dilaksanakan kerajaan adalah selaras untuk meningkatkan sistem pendidikan setanding dengan negara lain di dunia.

"Sekiranya keadaan ini diubah, mungkin akan timbul kemerosotan daripada segi kualiti dan industri pendidikan itu sendiri, sistem yang ada sudah cukup baik jadi sekiranya ia diubah dengan tiada kemudahan pinjaman maka ia memberi kesan yang besar terutamanya kepada pendidikan swasta," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, rakyat perlu meneruskan usaha-usaha yang telah dibina kerajaan hari ini kerana pelbagai program telah disediakan kerajaan dalam menuju matlamat Wawasan 2020.

Pada Belanjawan 2012 dan 2013, kerajaan telah memberikan Bantuan Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM200 (2012) dan RM250 (2013) kepada setiap pelajar IPT selain memberikan bantuan awal persekolahan kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah sebanyak RM100.

Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata kerajaan memberikan subsidi bayaran yuran sebanyak 90 peratus manakala 10 peratus lagi ditanggung oleh ibu bapa atau pelajar di IPTA.

"Dalam masa yang sama PTPTN menyediakan pinjaman dengan kadar upah satu peratus (untuk) kos pentadbiran dan urusan PTPTN, kita juga galakkan pelajar untuk mendapat kelas pertama untuk kita beri pengecualian bayaran dan tukar pinjaman itu kepada biasiswa," katanya.

Sehingga 31 Jan lepas, seramai 16,051 pelajar telah mendapat pengecualian bayaran balik yang melibatkan peruntukan sebanyak RM450.47 juta.

Insentif diskaun 20 peratus turut diberi kepada peminjam yang membuat bayaran balik secara sekali gus mulai 1 Okt 2012 hingga 30 Sept ini di mana seramai 21,289 peminjam telah membuat bayaran balik sekali gus dengan diskaun keseluruhan RM15.53 juta bagi tempoh Oktober 2012 hingga 31 Jan 2013.

Ismail berkata manifesto pembangkang untuk menghapuskan PTPTN adalah tidak munasabah kerana mereka tidak memperincikan dari mana sumber yang akan diambil bagi menampung pembiayaan percuma kepada pelajar di IPT.

"Kenapa Selangor gagal memberikan pendidikan percuma, baru tiga hari kita gantung proses pinjaman kepada pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel), tetapi Naib Canselornya hantar surat dan rayu dengan mengatakan bahawa universiti itu tidak bersedia memberi pendidikan percuma kepada pelajar mereka.

"Ini menunjukkan bahawa pembangkang hanya berjanji dan menipu rakyat," katanya.

Beliau berkata memang ada negara yang menyediakan pendidikan percuma seperti di Australia, New Zealand dan Norway, tetapi negara tersebut mengenakan kadar cukai pendapatan yang tinggi kepada rakyat mereka bagi membolehkan mereka membiayai pendidikan percuma.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan berkata pihak kerajaan ataupun pemerintah perlu menyediakan bajet yang berhemah dan tidak sepatutnya menggalakkan wujudnya banyak hutang yang perlu ditanggung negara.

"Saya percaya cadangan mereka (pembangkang) hanyalah sekadar janji-janji sahaja, mereka hanya janjikan untuk meraih sokongan tetapi tidak akan tepati janji yang mereka taburkan," katanya.

Beliau berkata belanjawan yang disediakan kerajaan adalah jauh lebih praktikal, munasabah dan tidak menggugat ekonomi negara pada masa kini dan akan datang selain tidak membebankan rakyat.

"Saya harap rakyat dapat memikirkan semasak-masaknya sama ada janji yang dicadangkan adalah janji kosong atau untuk sedapkan hati rakyat dengan memikirkan bahawa kerajaan tidak patut galakkan hutang yang banyak sebaliknya perlu berbelanja dengan berhemah dan sebaik-baiknya," katanya.

Sesungguhnya kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) komited untuk menjadikan sistem pendidikan di negara ini sebagai antara yang terbaik di dunia, sehubungan itu, mandat yang kukuh diperlukan bagi meneruskan usaha ini di masa hadapan.

SUMBER: BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...